Home Koronavirus 50,000 individu terima vaksin unit bergerak KPT, UKM

50,000 individu terima vaksin unit bergerak KPT, UKM

0
50,000 individu terima vaksin unit bergerak KPT, UKM

TAIPING – Program Unit Bergerak Vaksinasi Berkelompok Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilaksanakan berjaya memberikan vaksin kepada hampir 50,000 individu di empat lokasi sebelum ini.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, program tersebut bermula sejak 3 Jun lalu dengan Parit Sulong, Johor menjadi lokasi pertama diikuti Seri Menanti, Jempol dan Paroi di Negeri Sembilan.

Menurutnya, Unit Bergerak Vaksinasi Berkelompok itu kini berada di Kamunting, di sini bagi membantu kerajaan mempercepatkan imunisasi kelompok di kawasan ini.

“Pemilihan lokasi ini sebenarnya agak unik kerana kita melihat dari segi data yang kita dapat contohnya Taiping dipilih melihat kepada jumlah penerima vaksin sedia ada yang agak rendah.

“Di lain-lain kawasan pula kita lihat penerima vaksin di kawasan luar bandar kerana mereka ini susah nak mendapat capaian, jadi unit bergerak inilah kita gunakan untuk capai mereka seperti yang ada masalah kesihatan dan terlantar di rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Bergerak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Kamunting, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada lawatan itu, Ahli Lembaga Pengarah UKM, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie.

Mohd Ekhwan berkata, selepas Taiping program tersebut akan bergerak ke Pagoh, Johor sebelum kembali ke Perak iaitu di Bagan Datuk seterusnya ke Nibong Tebal dan Balik Pulau di Pulau Pinang.

Menurutnya, seramai 30 hingga 35 petugas terdiri daripada jururawat dan doktor dari HCTM selain sukarelawan tempatan terlibat dalam pengoperasian unit bergerak tersebut.

Sementara itu, Ahmad Shalimin berkata, Program Unit Bergerak Vaksinasi Berkelompok KPT dan UKM itu dijangka dilaksanakan selama dua minggu dengan setiap hari sebanyak 500 suntikan akan diberikan kepada penerima di sekitar Kamunting.

“Saya harap dengan kerjasama semua pihak ini dapat meningkatkan kadar imunisasi di Bandar Taiping khususnya dan di daerah Larut Matang dan Selama kerana saya difahamkan kadar vaksinasi di daerah ini masih di bawah 50 peratus.

“Dengan wujudnya PPV ini kita dapat membantu mencapai imuniti berkelompok. Program ini kita sasarkan selama dua minggu tetapi ia bergantung kepada bekalan vaksin yang akan diterima daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF),” katanya.

Katanya, pelaksanaan program yang pertama di Perak ini dibuat berdasarkan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan bukan dibuat secara tanpa janji temu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here