Home Koronavirus 47 kes positif kluster Taman Pulai Perdana 3

47 kes positif kluster Taman Pulai Perdana 3

0
47 kes positif kluster Taman Pulai Perdana 3

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesan sebanyak 47 kes positif membabitkan jemaah masjid dan penduduk bagi Kluster Pulai Perdana 3.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyanathan berkata, kluster itu dikesan hasil saringan bersasar Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB) pada 6 Januari berikutan terdapat beberapa jemaah masjid yang positif selepas melakukan saringan kendiri.

“Sehingga 10 Januari 2022, kita menerima makluman terdapat 47 kes positif dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana.

“Jumlah itu juga menyaksikan sebanyak 164 kontak rapat turut dikesan dan sedang menunggu keputusan saringan yang dijalankan pada 9 Januari,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Vidyanathan berkata, semua kes positif kini telah diisolasi selain kontak rapat juga telah diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah.

“Fasiliti umum yang berpotensi menjadi tempat penyebaran seperti masjid atau sekolah dalam kawasan tersebut juga telah dikenalpasti dan ditutup sementara waktu bagi tujuan siasatan serta pengesanan kes secara berterusan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga ingin mengingatkan penduduk di kawasan berkenaan untuk tampil menjalani saringan Covid-19 jika berlaku gejala, mempunyai kontak dengan kes positif atau pernah hadir ke Masjid Taman Sri Pulai Perdana pada tarikh antara 26 Disember 2021 sehingga 4 Januari 2022,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini Johor telah mencatatkan sebanyak 248,419 jumlah kes kumulatif dengan 238,101 kes telah pulih dan 6,440 kes Covid-19 aktif dan telah diasingkan serta diberi rawatan sama ada di rumah atau di hospital.

Selain itu, kumulatif kematian setakat ini adalah sebanyak 3,878 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here