Home Koronavirus 43,954 pekerja industri di NS sudah divaksin

43,954 pekerja industri di NS sudah divaksin

0
43,954 pekerja industri di NS sudah divaksin

SEREMBAN – Seramai 43,954 pekerja sektor perindustrian di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) yang dibuka di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, manakala 17,430 daripada jumlah pekerja tersebut telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua.

Beliau berkata, PPV-PIKAS d’Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lalu sehingga tempoh Ahad telah berjaya memberi 37,313 suntikan dos pertama dan 17,430 suntikan dos kedua kepada pekerja industri di negeri ini.

“Bagi PPV-PIKAS D’Cattleya, Senawang yang mula beroperasi pada 2 Ogos lalu pula telah memberi suntikan dos pertama kepada 6,641 pekerja setakat sehingga semalam (Ahad).

“Ini bermakna pencapaian kedua-dua PPV PIKAS yang beroperasi di Negeri Sembilan, setakat jam 5 petang Ahad (8 Ogos) berjaya memberi suntikan vaksin dos pertama kepada 43,954 pekerja, manakala 17,430 pekerja telah melengkapkan suntikan dos kedua,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan itu berkata, semua pihak pengurusan sektor perindustrian yang masih belum berdaftar untuk pemberian vaksin dinasihatkan untuk segera mendaftarkan pekerja masing-masing di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) supaya proses pengvaksinan dapat diatur segera.

“Kita perlu berusaha untuk memastikan setiap premis sektor perindustrian dapat mencapai 100 peratus suntikan vaksin bagi membolehkan sektor perindustrian dapat beroperasi semula secara optimum.

“Dalam usaha untuk menjadikan premis perkilangan kawasan ‘Bebas Covid-19’, tiga prasyarat utama perlu dicapai iaitu, mencapai 100 peratus pekerja menerima dua dos suntikan vaksin, saringan awal menggunakan kit ujian Covid-19 sebelum memasuki premis kilang dan sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, masyarakat perlu menerima hakikat bahawa perlu hidup bersama dengan permasalahan Covid-19 ini dan sektor ekonomi tidak boleh dihentikan, sebaliknya ia perlu dirangsang semula untuk memulihkan ekonomi masyarakat serta negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here