Home Koronavirus 40 peratus tidak hadir janji temu vaksin dos penggalak

40 peratus tidak hadir janji temu vaksin dos penggalak

0
40 peratus tidak hadir janji temu vaksin dos penggalak

BATU KAWAN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyalurkan maklumat yang terperinci dan lebih jelas mengenai pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap inisiatif itu, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata, hal tersebut berikutan orang ramai khususnya warga emas masih teragak-agak dan keliru sama ada mahu menerima suntikan dos penggalak atau sebaliknya.

“Menurut statistik Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), daripada janji temu yang diberikan melalui MySejahtera didapati 40 peratus tidak hadir, sebabnya antara lain berkaitan isu keyakinan orang ramai.

“Justeru, kita harap KKM sentiasa memberikan maklumat serta arahan yang jelas dari masa ke masa, sekali gus dapat mengurangkan tekanan dihadapi JKNPP dalam usaha menggerakkan semula fasiliti pusat pemberian suntikan dos penggalak selepas baru sahaja menghentikan (operasi) pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya kepada pemberita ketika program Penanaman Pokok Cassia Siamea di sini pada Sabtu.

Pada 18 Oktober lepas, Pulau Pinang memulakan pemberian suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan secara berperingkat diikuti golongan warga emas dan komorbid.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, 26 lagi fasiliti kesihatan swasta telah disenaraikan sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak, iaitu tambahan kepada 47 fasiliti sedia ada, yang melibatkan semua daerah di negeri itu.

“Kalau ikut statistik di CovidNow, pemberian dos penggalak di Pulau Pinang dianggarkan 24,000 dos (setakat semalam). Ia agak perlahan, oleh itu kita telah ambil tindakan ini (tambah 26 fasiliti kesihatan swasta),” katanya selain memaklumkan situasi Covid-19 di negeri itu ketika ini dalam keadaan terkawal. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here