Home Koronavirus 39,036 remaja Johor terima vaksin

39,036 remaja Johor terima vaksin

0
39,036 remaja Johor terima vaksin

JOHOR BAHRU – Seramai 39,036 remaja di Johor menerima suntikan vaksin bagi dos pertama dan kedua sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) bagi golongan berusia 12 hingga 17 tahun yang bermula sejak 20 September lalu.

Exco Kesihatan Johor, R Vidyanathan berkata, jumlah penerima vaksin itu adalah daripada 359,900 remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang dianggarkan berada di negeri ini.

“Sehingga 23 September 2021, kita mempunyai rekod seramai 37,144 orang iaitu 10.3 peratus remaja berumur bawah 18 tahun di negeri Johor telah menerima vaksinasi dos pertama manakala 1,892 (0.5 peratus) lagi telah lengkap dos kedua.

“Untuk makluman, terdapat tiga kategori dalam pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 remaja melibatkan janji temu melalui MySejahtera, vaksinasi berjadual dan secara ‘walk in’,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Vidyanathan berkata, pelaksanaan kategori pemberiaan sasar itu juga dikelaskan menerusi golongan sasar yang berbeza bagi memastikan tiada pihak yang akan tertinggal.

“Bagi janji temu melalui Mysejahtera, kumpulan sasarnya adalah pelajar asrama penuh, sekolah pendidikan khas berasrama dan sekolah asrama harian.

“Bagi vaksinasi berjadual pula, kita mensasarkan pelajar sekolah harian, sekolah pendidikan khas harian dan sekolah antarabangsa manakala untuk ‘walk in’ melibatkan remaja di institusi pengajian tinggi dan mereka yang tidak bersekolah,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 18 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk urusan ‘walk in’ yang dibuka di 10 daerah melibatkan Johor Bahru, Kulai, Segamat, Pontian, Mersing, Batu Pahat, Kluang, Muar, Kota Tinggi dan Tangkak.

Justeru, beliau berharap semua pihak khususnya ibu bapa dapat memberikan kerjasama bagi memastikan golongan muda ini tidak ketinggalan untuk menerima vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan negeri berharap pihak-pihak ini dapat mematuhi tarikh janji temu yang diberikan oleh pihak sekolah atau pun melalui MySejahtera.

“Kita juga harap semua pihak dapat memberi kerjasama kepada petugas pusat pemberian vaksin ketika hadir untuk mendapatkan vaksinasi bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dan memastikan kelancaran proses vaksinasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here