Home Koronavirus 39 pelajar SPM di Pekan positif Covid-19

39 pelajar SPM di Pekan positif Covid-19

0
39 pelajar SPM di Pekan positif Covid-19

KUANTAN – Seramai 39 pelajar di empat sekolah menengah di Pekan tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada Rabu, selepas disahkan positif Covid-19.

Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, pelajar yang terpaksa menjalani kuarantin akan mengikuti penjadualan semula SPM seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bila pelajar disahkan positif secara automatik mereka tidak dibenarkan menduduki peperiksaan. KPM mementingkan kesihatan serta keselamatan pelajar, jadi wabak Covid-19 tidak boleh diambil mudah.

“Di daerah ini (Pekan), terdapat seramai 1,438 pelajar daripada 16 sekolah menengah menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum itu, beliau turut meninjau peperiksaan SPM di SMK Dato’ Mahmud Mat, Pekan pada Rabu.

Mohd Razali mengakui bukan hanya pelajar, malah guru yang terbabit dengan SPM sebagai pengawas turut tertekan kerana mereka juga terdedah wabak Covid-19 yang mungkin dibawa calon.

Justeru katanya, setiap calon SPM yang bergejala perlu membuat ujian saringan sebelum dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Kita berharap jumlah calon SPM daerah ini yang positif Covid-19 tidak terus bertambah lagi dan disebabkan itu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu bagi semua pihak.

“Mereka (pelajar) yang bergejala juga diminta supaya memaklumkan kepada pihak pengawas peperiksaan bagi mengelak jangkitan, ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here