Home Koronavirus 38,114 pelajar di Terengganu mula divaksin

38,114 pelajar di Terengganu mula divaksin

0
38,114 pelajar di Terengganu mula divaksin

KUALA TERENGGANU – Terengganu memulakan program pemberian vaksin Covid-19 kepada 38,114 pelajar Tingkatan Empat dan Lima bermula Selasa sebagai persediaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pemberian vaksin dilakukan di 56 sekolah seluruh negeri yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) sehingga 2 Oktober nanti.

Menurutnya, semua pelajar berusia 16 dan 17 tahun tersebut adalah pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk sekolah menengah agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah swasta dan pusat tahfiz.

“Maklum balas yang kita terima daripada ibu bapa adalah positif untuk anak mereka diberikan vaksin sebelum sekolah dibuka pada 3 Oktober nanti.

“Bagi remaja yang tidak bersekolah dan bersekolah di luar daerah pula, mereka boleh dapatkan vaksin di PPV dan klinik kesihatan berhampiran,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani.

Pada program itu, seramai 800 pelajar SMK Sultan Sulaiman, SMK Padang Negara dan Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin menerima dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer.

Dr Kasemani berkata, seramai 8,000 pelajar yang mempunyai masalah kesihatan sudah membuat pemeriksaan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran bermula 15 September lalu dan daripada jumlah itu, 98 orang telah selesai menerima suntikan.

Sementara itu, seorang pelajar, Nuraleesya Sufia Che Rosli, 17, dari SMK Padang Negara berkata, dia teruja dapat menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada Selasa sebagai persediaan untuk ke sekolah.

“Saya rindu zaman sekolah sebelum pandemik apabila kita semua dapat bersemuka dengan guru, kawan-kawan dan buat aktiviti kurikulum bersama.

“Oleh itu saya berharap dapat masuk sekolah segera supaya lebih bersemangat untuk belajar dengan rakan-rakan tanpa rasa bimbang kerana sudah divaksin,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here