TANJONG KARANG – Seramai 32,640 individu menerima vaksin dos pertama dan kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini sehingga Isnin.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun berkata, kebanyakan penerima vaksin di PPV tersebut sudah menerima dos kedua.
Menurutnya, PPV itu juga sudah membuka vaksinasi secara terus atau ‘walk-in’ bagi mereka yang masih belum menerima janji temu sejak 2 Ogos lalu.
“Kita telah membuat hebahan di seluruh kampung di Parlimen Tanjong Karang agar mereka segera mendapatkan suntikan,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Kanvas Visi Sukan Negara (VSN) 2030 Daerah Kuala Selangor di IPP Tanjong Karang di sini pada Isnin.
Noh berkata, pada masa ini, PPV terbabit menerima kehadiran individu yang mengambil suntikan dos kedua lebih ramai berbanding dos pertama.
“Misalnya pada 6 Ogos lalu, seramai 1,751 orang yang hadir ke PPV ini untuk dos kedua dan hanya enam individu sahaja hadir terima suntikan dos pertama,” jelas beliau.
Tambah Noh, pemberian vaksin secara ‘walk-in’ itu dilakukan bagi memastikan inisiatif pemberian pelalian itu terus dipertingkatkan.
“PPV ini yang dibuka sejak 28 Jun lalu mampu mencapai kapasiti sebanyak 1,700 dos sehari berbanding 1,000 dos sebelum ini,” katanya.