HULU TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenalpasti seramai 323,000 rakyat negeri ini akan menerima dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu melibatkan 31,000 petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi.
“Pemberian dos ketiga ini akan dimulakan selepas kita mendapat arahan pelaksanaannya di peringkat negeri,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada orang asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di sini pada Sabtu.
Program pemberian vaksin jenis CanSino kepada 372 orang asli di Sungai Berua itu turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.
Selain pemberian vaksin Covid-19, program mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.
Menurut Dr Kasemani, proses suntikan berkenaan dijangka dilakukan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan.
“Kita tidak ada sebarang masalah berhubung bekalan vaksin bagi pemberian dos ketiga kerana mempunyai jumlah yang mencukupi,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan berkenaan pelaksanaan pemberian dos ketiga dan juga dos penggalak.
Perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang akan datang.