Home Koronavirus 30 lagi VOC babitkan varian Afrika Selatan, UK dikesan di Malaysia

30 lagi VOC babitkan varian Afrika Selatan, UK dikesan di Malaysia

0
30 lagi VOC babitkan varian Afrika Selatan, UK dikesan di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan telah mengesan sejumlah 30 lagi varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan pandemik Covid-19 di Malaysia iaitu 27 kes bagi varian Afrika Selatan (B.1.351) dan tiga kes bagi varian United Kingdom (B.117).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kesemua kes dikesan menerusi 59 penjujukan seluruh genom yang dijalankan dari 24 April hingga Sabtu (1 Mei) oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Ini juga adalah laporan pertama mengenai VOC Afrika Selatan di Perak dan Kelantan yang membabitkan beberapa kluster penting dengan 10 kes di setiap negeri. Selain itu, kami masih mengesan varian itu di Selangor dengan tujuh kes.

“Bagi varian UK, dua kes dikesan di Selangor manakala satu kes di Sandakan, Sabah (laporan pertama mengenai VOC di Sabah), yang membabitkan seorang individu bukan warganegara. Ini juga adalah laporan pertama mengenai varian itu dalam kalangan individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara sekali gus mencadangkan bahawa ia adalah jangkitan tempatan,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Selain VOC, Dr Adham berkata, kes pertama varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) membabitkan varian India (B.1.617) turut dikesan daripada seorang rakyat India yang menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, beliau berkata, Malaysia telah mencatatkan 48 kes bagi varian Afrika Selatan, lapan kes bagi varian United Kingdom, satu kes bagi varian India, dua kes bagi varian Nigeria (B.1.525) dan satu kes bagi varian keturunan C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

“Kami juga mendapati bahawa ada peningkatan secara bertahap dalam jumlah VOC terutama bagi varian Afrika Selatan dalam sampel yang kami lakukan penjujukan penuh genom, yang menunjukkan potensi penggantian VOC (B.1.351) bagi varian keturunan tempatan (B.1.524),” katanya.

Dr Adham turut menasihati orang ramai untuk kekal bertenang dan memberi kerjasama dalam mengatasi pandemik Covid-19 di Malaysia.

“Segala tindakan kesihatan awam untuk terus putuskan rantaian penularan perlu dilakukan untuk keselamatan rakyat,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here