Home Koronavirus 27 premis langgar SOP diarah tutup

27 premis langgar SOP diarah tutup

0
27 premis langgar SOP diarah tutup

SHAH ALAM – Sebanyak 27 premis meliputi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama pekerja diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hasil 88,183 pemeriksaan dan ‘snap check’ Covid-19 daripada pasukan Task Force Operasi Pematuhan pada Isnin.

Jelas beliau, pemeriksaan itu juga dibuat ke atas 2,798 kilang, 17,349 premis perniagaan, 727 tapak pembinaan dan 211 asrama penempatan pekerja.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

“Justeru, daripada pemeriksaan pada Isnin, 27 premis meliputi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja diarahkan tutup,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, seramai 548 individu juga telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, seramai 539 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman.

“Antara kesalahan yang direkodkan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk di premis (91), tiada penjarakan fizikal (81) dan tidak memakai pelitup muka (79).

“Selain itu, seramai 54 individu juga tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan (48), manakala lain-lain kesalahan (195),” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here