TANJONG KARANG – Seramai 26,571 individu sudah menerima dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang sehingga Selasa.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah itu, seramai 502 individu menerima suntikan dos kedua sejak PPV itu dibuka pada 28 Jun lalu.
Menurut beliau, kapasiti pemberian vaksin di PPV itu turut dipertingkatkan daripada 1,000 dos kepada 1,600 dos sehari.
“Proses suntikan vaksin di PPV IPP Tanjong Karang lancar manakala petugas dan sukarelawan mencukupi untuk menambah kapisiti 1,600 dos sehari berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat PPV IPP Tanjong Karang di sini pada Selasa.
Noh berkata, PPV itu turut merekodkan secara purata kehadiran 95 peratus berdasarkan janji temu melaui MySejahtera.
Bagaimanapun katanya, ada juga dalam kalangan penerima yang meminta temu janji itu dijadualkan semula.
“Setiap hari saya menerima laporan kehadiran ke PPV ini tetapi setakat ini jumlah individu menerima suntikan amat menggalakkan,” katanya.
Justeru katanya, pihaknya menyasarkan 80 peratus penduduk di Parlimen Tanjong Karang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan menjelang Ogos depan.
“Pembukaan PPV IPP Tanjong Karang mencapai matlamat bagi memastikan proses pemberian vaksin kepada penduduk berjalan lancar,” katanya.
Ditanya kehadiran warga emas yang belum mendapat janji temu hadir secara terus atau ‘walk in’ di PPV IPP Tanjong Karang bagi mendapatkan suntikan, Noh berkata, setakat ini sambutan diterima amat baik.
“Kita membenarkan warga emas yang masih belum menerima suntikan vaksin hadir secara terus ke PPV ini.
“Fasa seterusnya kita akan galakkan ‘walk in’ apabila rekod janji temu di MySejahtera semakin berkurangan bagi menggalakkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.