Home Koronavirus 26,250 kes baharu Covid-19, 25,089 sembuh pada Sabtu

26,250 kes baharu Covid-19, 25,089 sembuh pada Sabtu

0
26,250 kes baharu Covid-19, 25,089 sembuh pada Sabtu

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 26,250 kes baharu Covid-19 pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,443,532.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 25,705 kes tempatan dan 545 kes import.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 26,073 kes yang dilaporkan atau 99.33 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan, manakala sebanyak 177 kes atau 0.67 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak sebanyak 8,652 kes atau 32.96 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 17,421 kes atau 66.37 peratus adalah pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 70 kes (0.26 peratus), kategori empat dengan 60 kes (0.23 peratus) dan bagi kategori lima adalah sebanyak 47 kes (0.18 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 177 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 43 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“Sebanyak 91 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, tetapi tidak menerima dos penggalak dan 43 kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 99 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 77 kes lagi mempunyai komorbid dan dua melibatkan kes ibu mengandung.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak dua kluster baharu direkodkan pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 395.

“Sebanyak 367 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 169 daripadanya disahkan Covid-19, manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 198,” katanya.

Katanya, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula, sebanyak 211 kes dilaporkan dengan 100 kes disahkan Covid-19 dan 111 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 25,089 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,443,532 kes setakat ini.

Dalam masa sama, enam negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan Putrajaya mendahului sebanyak 167 peratus, Kelantan (69 peratus), Johor (68 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus), Selangor (58 peratus) dan Perak (53 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here