Home Koronavirus 26 kes varian Omicron dikesan di Pahang

26 kes varian Omicron dikesan di Pahang

0
26 kes varian Omicron dikesan di Pahang

KUANTAN – Sebanyak 26 kes varian Omicron dikesan di Pahang sekali gus menyebabkan kes harian Covid-19 di negeri itu meningkat dengan mendadak.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, jika sebelum ini Pahang hanya merekodkan kes harian kurang 200 kes, namun angka itu melonjak beberapa hari lalu apabila merekodkan 739 kes pada Rabu.

“Jangkitan Omicron tidak boleh dihentikan kerana ia sudah meluas dan berada dalam komuniti, namun kita mampu perlahankan transmisinya supaya tidak terlalu parah.

“Membiarkan lonjakan kes berterusan tanpa sebarang tindakan, semata-mata mengharapkan natural imuniti tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam kenyataan melalui Faceboook pada Khamis.

Ini kerana katanya, masih ada kumpulan berisiko mendapat jangkitan yang teruk, khususnya warga emas dan mereka yang belum divaksin.

“Walaupun majoriti kes berada dalam kategori satu dan dua, namun sekiranya berlaku lonjakan kes secara berterusan, kes kategori tiga hingga lima juga akan meningkat.

“Jika ini berlaku sudah pasti penggunaan katil di hospital dan katil Unit Rawatan Rapi ( ICU ) akan bertambah. Selama mana perkhidmatan hospital mampu bertahan kerana kita sendiri tidak pasti sampai bila gelombang berlaku,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai tidak boleh mengharapkan keajaiban akan berlaku tanpa berbuat apa-apa sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha untuk menghalangnya.

Tambah Dr Nor Azimi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah keadah terbaik namun langkah itu kini dipandang remeh.

“Tidak ada kaedah terbaik untuk perlahankan transmisi ini melainkan pengambilan vaksin dan dos penggalak bagi mengurangkan risiko keterukan dan komplikasi seperti kematian.

“Kawalan kendiri juga penting termasuk membuat ujian bagi yang bergejala dan jangan ke mana-mana. Kita dapati ada individu bergejala masih pulang ke kampung dan melancong dan jika mereka didapati positif, ramai akan berisiko dijangkiti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here