Home Koronavirus 259 pelajar sekolah menengah di Kelantan positif Covid-19

259 pelajar sekolah menengah di Kelantan positif Covid-19

0
259 pelajar sekolah menengah di Kelantan positif Covid-19

KOTA BHARU – Seramai 259 atau 56 peratus daripada 464 individu yang dikesan positif Covid-19 di Kelantan adalah pelajar sekolah menengah, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata jumlah selebihnya adalah guru, kakitangan sekolah, murid sekolah rendah, kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun dan individu lain berusia lebih 19 tahun.

Angka itu berdasarkan ujian Covid-19 yang dilakukan dalam tempoh dua minggu iaitu antara 3 hingga 16 April lepas, katanya.

Menjelaskan perkara itu, Dr Zaini berkata seramai 111 orang (24 peratus) yang dikesan positif adalah murid sekolah rendah berumur antara tujuh hingga 12 tahun.

“Bagi kanak-kanak berusia kurang daripada tujuh tahun, ada seramai lapan orang (dua peratus) serta 86 orang (19 peratus) pula adalah individu berusia lebih 19 tahun (termasuk guru dan kakitangan sekolah).

“Daripada 464 kes itu daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 189 kes positif diikuti Tumpat (113), Tanah Merah (55), Pasir (36), Machang (20), Bachok (17), Pasir Puteh (15), Kuala Krai (8), Jeli (7) dan Gua Musang (4),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata hasil kajian yang dilakukan mendapati jangkitan pantas yang berlaku di sekolah disebabkan pelbagai faktor antaranya ia mudah tersebar terutamanya di asrama.

“Pihak sekolah juga dilihat ada yang masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan baik sehingga menyebabkan berlakunya jangkitan,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan situasi semasa di negeri ini termasuk kewujudan kluster baharu, pihak JKNK menjangkakan kes positif COVID-19 pada minggu ini berkemungkinan mencecah antara 200 hingga 300 kes sehari. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here