Home Koronavirus 2,300 penguatkuasa KPDNHEP tunggu giliran vaksin Covid-19

2,300 penguatkuasa KPDNHEP tunggu giliran vaksin Covid-19

0
2,300 penguatkuasa KPDNHEP tunggu giliran vaksin Covid-19

HULU TERENGGANU – Lebih 2,300 penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara sedang menunggu giliran menerima suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini penguatkuasa KPDNHEP tidak disenaraikan sebagai petugas barisan hadapan dan menunggu giliran untuk mendapat suntikan vaksin sebagaimana orang awam.

Justeru katanya, KPDNHEP telah menghantar surat kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyenaraikan penguatkuasa agensi berkenaan sebagai petugas barisan hadapan yang layak menjadi antara penerima vaksin terawal pada fasa pertama ini.

“Setakat ini mereka menunggu giliran sebagaimana orang awam. Saya juga berharap permohonan kita mendapat pertimbangan MOSTI supaya penguatkuasa KPDNHEP dapat menerima suntikan vaksin pada fasa pertama ini,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Berang, di sini pada Selasa.

Menurut Rosol, penguatkuasa KPDNHEP juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 kerana sentiasa turun ke lapangan untuk membuat pemantauan harga dan pemeriksaan kecukupan bekalan barang keperluan di semua peringkat perniagaan selain terlibat dalam penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu katanya, penguatkuasa KPDNHEP juga sentiasa berurusan dengan pelbagai kelompok komuniti untuk menyelesaikan aduan dan laporan yang diterima bagi mengelakkan penindasan kepada pengguna oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Rosol berkata, peniaga termasuk pekerja di pusat beli belah juga diminta untuk mendaftarkan diri masing-masing bagi mendapatkan suntikan Covid-19 dengan segera dalam usaha memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, ia penting kerana peniaga mudah terdedah dengan risiko jangkitan berikutan sering berurusan dengan orang ramai.

“Kita minta peniaga mendaftar segera untuk mengambil vaksin ini. Kita tiada data jumlah peniaga yang sudah daftar tapi lepas ini kita akan buat bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol turut meminta masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan tertentu yang menolak pengambilan vaksin termasuk vaksin Covid-19.

“Golongan antivaksin ini bukan sahaja Covid-19, BCG pun mereka tidak mahu ambil dan ia memberi kesan masa panjang.

“Kita harap rakyat tidak mendengar suara-suara tiada autoriti dan mereka tidak bertanggungjawab,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here