Home Koronavirus 23 kes varian bahaya jenis Beta di Kelantan

23 kes varian bahaya jenis Beta di Kelantan

0
23 kes varian bahaya jenis Beta di Kelantan

KOTA BHARU – Sebanyak 23 kes membabitkan varian jenis Beta (B.1.351) yang sebelum ini dikenali sebagai varian Afrika Selatan di kesan menjangkiti pesakit positif Covid-19 dalam kalangan warganegara di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes terbaru yang dilaporkan membabitkan kluster Jalan Padang Tembak dan Bunut Susu.

Beliau memberitahu, varian sama dikesan dalam kalangan kluster di sebuah sekolah tahfiz di Tanah Merah dan kluster Kampung Bunut Sarang Burung.

“Jabatan kesihatan mengambil sampel calitan dan orang ramai dinasihatkan terus mematuhi asas pencegahan Covid-19 iaitu penjarakan fizikal, membersihkan tangan, mengelakkan sentuhan dan pemakaian pelitup muka sepanjang masa,” katanya kepada pemberita di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Hibrid Tanjung Chat, di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, di sini, pada Ahad.

Beliau sebelum itu melawat PKRC ke-15 tersebut yang juga adalah PKRC Hibrid kedua di negeri ini yang menempatkan katil klinikal selepas PKRC Gelanggang Seni.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Dr Zaini berkata, PKRC Tanjung Chat mula beroperasi hari ini dengan kapasiti 200 katil pesakit termasuk 44 katil klinikal yang akan menempatkan pesakit positif Covid-19 kategori satu hingga tiga termasuk pesakit ‘step down’ (berasur pulih) kategori empat ke tiga dari HRPZ II.

“Pihak jabatan sentiasa bersedia membuka PKRC yang baharu sekiranya jumlah pesakit positif Covid-19 harian melebihi 600 individu.

“Lokasi seterusnya dijangkakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok yang berkapasiti 300-400 pesakit pada satu-satu masa,” katanya.

Sinar Harian pada 3 Mei lalu melaporkan varian jenis Beta (B.1.351) yang sebelum ini dikenali sebagai varian Afrika Selatan di Kelantan dipercayai tercetus daripada pergerakan rentas negeri.

Penduduk di negeri ini hadir kenduri di Kuala Lumpur dan kemudian membawa varian berkenaan hingga menular.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here