Home Koronavirus 22,535 kes baharu Covid-19 pada Ahad

22,535 kes baharu Covid-19 pada Ahad

22,535 kes baharu Covid-19 pada Ahad

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 22,535 kes baharu Covid-19 pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif kes ialah 3,823,571.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, jumlah berkenaan melibatkan 22,174 kes tempatan dan 361 kes import.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 8,637 kes membabitkan 38.33 peratus adalah kategori satu dan 13,713 kes atau 60.85 peratus merupakan kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 72 kes atau 0.32 peratus manakala kategori empat dengan 63 kes atau 0.28 peratus dan kategori lima ialah 50 kes membabitkan 0.22 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 185 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 39 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“Sebanyak 88 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak. Sebanyak 58 kes telah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 109 kes mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 53 kes mempunyai komorbid,” jelasnya.

Tambah beliau, sebanyak enam kluster baharu direkodkan pada Ahad menjadikan jumlah kluster aktif ialah 389.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 384 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 174 kes disahkan Covid-19, 210 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 222 kes dengan 103 kes disahkan Covid-19, 119 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” ujarnya.

Katanya, negara merekodkan sebanyak 25,356 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 3,468,888.

Beliau turut memaklumkan enam negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan Putrajaya mendahului sebanyak 100 peratus, Kelantan (75), Johor (73), Kuala Lumpur (73), Selangor (58) dan Perlis (55).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here