Home Koronavirus 207 kakitangan MBSJ positif Covid-19 sehingga Ahad

207 kakitangan MBSJ positif Covid-19 sehingga Ahad

0
207 kakitangan MBSJ positif Covid-19 sehingga Ahad

SUBANG JAYA – Sebanyak 207 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak pandemik bermula sehingga Ahad lalu.

Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan berkata, dalam tempoh semasa turut dilaporkan terdapat 27 kes Covid-19 masih lagi aktif dalam kalangan kakitangan MBSJ.

Menurutnya, sehingga kini seramai 1,479 (97.82 peratus) kakitangan MBSJ menerima satu dos manakala 1,431 (96.64 peratus) lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

“Walaupun menerima suntikan vaksin Covid 19, masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat MBSJ secara dalam talian pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara juga bakal menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan datang ketika rakyat sedang mengharungi krisis Covid-19.

Beliau sehubungan itu berkata, semangat pemimpin terdahulu wajar dijadikan inspirasi dan iktibar ketika negara masih berada dalam tempoh yang agak mencabar susulan wabak Covid-19.

“Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara, yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada kita semua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan terdapat sebanyak 1,384 kes positif demam denggi dilaporkan di kawasan pentadbiran MBSJ sehingga 21 Ogos lalu.

Tambahnya, terdapat empat lokaliti hotspot (titik panas) denggi dilaporkan iaitu di USJ 11/3, USJ 2/2, Taman Perindustrian SIME UEP Subang (Jalan TP) dan USJ 16 (Sri Tanjung) 5 bermula 15 Ogos hingga 21 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here