Home Koronavirus 204,153 penduduk Selangor sudah divaksin

204,153 penduduk Selangor sudah divaksin

0
204,153 penduduk Selangor sudah divaksin

SHAH ALAM – Seramai 204,153 orang penduduk di Selangor telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari lalu sehingga Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat masa ini, program PICK juga telah menerima sebanyak 2.7 juta pendaftaran daripada penduduk negeri ini yang ingin mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Beliau berkata, berikutan itu kerajaan negeri Selangor berpandangan proses vaksinasi di negeri ini harus dipercepatkan dan diperkemaskan susulan jumlah pendaftaran yang tinggi.

“Vaksinasi adalah salah satu strategi untuk melawan Covid-19 dan disebabkan itu ia harus dilaksanakan dengan cepat dan diperkemaskan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor pada Isnin.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud sebelum ini turut menyarankan kerajaan agar dapat menambah jumlah pemberian vaksin buat penduduk di negeri ini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ke negeri-negeri lain.

Menurut beliau, Selangor mempunyai kepadatan penghuni yang tinggi malah kebanyakan daripada mereka juga merupakan penduduk luar dan bekerja di sini.

Menerusi pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu, beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula ‘total lockdown’ atau perintah berkurung penuh seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang dilakukan tahun lalu.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Amirudin berkata, individu yang terlibat dalam sektor ekonomi juga perlu diberi perhatian dalam proses vaksinasi susulan daripada pengumuman kerajaan tersebut.

“Orang dalam sektor ekonomi juga perlu divaksin kerana mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Ini bukan masalah tuan punya kilang dan tauke sahaja tapi kita kena fahami ada kelompok pekerja B40 dan M40 juga perlu divaksin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor juga boleh memberi suntikan vaksin secara percuma kepada lebih 230,000 orang penerima Skim Peduli Sihat dan warga emas berdaftar di negeri ini sekiranya perkara itu mendapat persetujuan daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Kita juga menerima satu angka permohonan yang tinggi daripada pemain industri sektor perkilangan yang berhasrat mendapatkan vaksin ini dan sanggup membayar kos pembeliannya bagi membolehkan pekerja mereka disuntik segera.

“Disebabkan itulah Selangor menawarkan kepada kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan bekalan vaksin ini untuk diberikan kepada kelompok-kelompok ini kerana mereka juga perlu dilindungi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here