Home Koronavirus 20 peratus kanak-kanak, warga emas dijangkiti Covid-19

20 peratus kanak-kanak, warga emas dijangkiti Covid-19

0
20 peratus kanak-kanak, warga emas dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM – Seramai 10 hingga 20 daripada peserta yang hadir ke ujian saringan Covid-19 percuma di bawah inisiatif kerajaan Selangor dan disyaki positif merupakan golongan kanak-kanak dan warga emas.

Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Korporat SELGATE Corporation, Nurafida Zamri berkata, data tersebut diperoleh setelah ujian saringan tersebut dilakukan secara bersasar di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak awal Mei lalu.

Beliau ketika ditemui di Dewan Jenjarum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 11, di sini berkata, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah peserta yang hadir ke ujian saringan Covid-19 tersebut iaitu seramai 2,000 orang disyaki positif Covid-19.

Tambahnya, kanak-kanak yang didapati positif Covid-19 ketika ujian saringan dijalankan berada dalam lingkungan umur satu hingga lapan tahun.

“Kanak-kanak yang disahkan positif tersebut adalah golongan bayi dan anak-anak yang dijaga di taska dan pusat jagaan.

“Kami harapkan lebih ramai ibu bapa membawa anak-anak atau mereka yang menjaga ibu bapa untuk datang menjalani ujian saringan ini kerana kami menyediakan ruangan khas untuk mereka bagi mengelakkan golongan tersebut terdedah kepada orang ramai,” katanya di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Nurafida menjelaskan bahawa penggunaan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) lebih efektif berbanding ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) kerana keputusan yang dikeluarkan daripada ujian RTK-Ag lebih cepat dan sesuai untuk ujian saringan berskala besar.

Ujarnya, peserta yang mengetahui keputusan saringan dengan lebih awal boleh bersedia untuk melakukan kuarantin kendiri jika disahkan positif supaya dapat melindungi orang sekeliling daripada dijangkiti virus Covid-19.

“Kalau kita buat ujian RT-PCR, ia akan mengambil masa beberapa hari bagi mengetahui keputusannya dan peserta tidak diberikan langkah pencegahan awal sepanjang waktu menunggu keputusan tersebut.

“Jadi apabila mereka tahu keputusan ujian lebih awal, mereka boleh lakukan kuarantin kendiri jika disahkan positif bagi melindungi keluarga dan orang-orang terdekat daripada dijangkiti virus itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here