Home Koronavirus 1,800 warga emas, golongan berisiko gagal hadir janji temu suntikan vaksin

1,800 warga emas, golongan berisiko gagal hadir janji temu suntikan vaksin

0
1,800 warga emas, golongan berisiko gagal hadir janji temu suntikan vaksin

KOTA BHARU – Seramai 1,800 individu membabitkan golongan berisiko dan warga emas dikesan gagal hadir pada janji temu penerimaan suntikan vaksin fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah itu keseluruhan daripada anggaran 9,000 yang sepatutnya menerima vaksinasi Covid-19 seperti dijadualkan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kesukaran Jabatan Kesihatan Kelantan melakukan penjadualan semula janji temu malah lebih teruk apabila fasa ketiga PICK tertangguh.

“Ada 1,800 yang mendaftar pada fasa dua namun tidak hadir janji temu. Sepatutnya fasa ketiga ditetapkan pada Mei tetapi sudah ‘over lap’.

“Selain itu, ada kebarangkalian berlaku pembaziran vaksin tetapi kami mengambil langkah awal berjaga-jaga dan memberikan vaksin kepada mereka yang patuh janji temu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Khas di Gelanggang Seni di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob.

PKRC Khas tersebut bakal menerima pesakit esok.

Beliau berkata, sehingga Ahad, hampir 50,000 individu atau empat peratus penduduk Kelantan termasuk petugas barisan hadapan pada fasa pertama dan golongan warga emas serta berisiko pada fasa kedua yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksinasi Covid-19.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan, hanya dua peratus daripada 1.2 juta rakyat Kelantan menolak pengambilan vaksin Covid-19 manakala 83 peratus pula bersetuju menerima vaksin menunjukkan tahap kesedaran tinggi.

“Hasil kajian sebab menolak vaksin antaranya mereka meragui status halal haram, merasakan vaksin tidak memberi manfaat dan terpengaruh terhadap kesan sampingan vaksinasi seperti yang ditularkan di media sosial,” katanya.

Menurut beliau, tiada masalah pada PICK fasa pertama kerana membabitkan petugas barisan hadapan.

“Saya menasihatkan kepada individu yang tidak dapat memenuhi temu janji atau ada halangan untuk datang supaya memaklumkan lebih awal bagi menggelakkan pembaziran vaksin kerana vaksin sudah dibuka dan tidak boleh di simpan,” katanya.

Ujar beliau, PKRC Khas di Gelanggang Seni akan ditukar ke hospital medan dan ditambah lebih banyak katil klinikal bergantung kepada keperluan.

“Kelantan mempunyai 10 PKRC iaitu lapan di Kota Bharu dan masing-masing satu di Pasir Mas dan Tanah Merah.

“Keseluruhan 1,949 katil di PKRC sedia ada kebanyakan penuh dan Kelantan dijangka memerlukan lebih PKRC,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here