PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Sebanyak 149 kes positif Covid-19 dikesan dalam saringan di pintu masuk udara dan laut untuk ke Pulau Langkawi.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 186 individu merupakan kontak rapat kepada kes positif berkenaan.
“Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, sejak projek rintis gelembung pelancongan itu dilaksanakan dua minggu lalu, seramai 40,548 individu telah disaring.
“Ia melibatkan saringan ke atas 34,038 individu di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 individu melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah,” katanya.
Dr Noor Hisham turut memberitahu, terdapat 641 individu menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif.
“Baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Kluster Dah Teluk Nibong yang dikesan pada 1 Oktober lalu tidak berkaitan dengan kes pelancong kanak-kanak yang didapati positif pada 26 September lalu.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya.
Ujarnya, setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan terhadap 254 orang dan merekodkan 59 kes positif, 187 individu negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.
“Kesemua kes jangkitan Covid-19 Kluster Dah Teluk Nibung merupakan kategori satu dan dan dua melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja serta kontak rapat ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, kesemua kontak rapat telah dikenalpasti dan dilakukan swab serta diberi arahan HSO selama 10 hari.
“Sehingga kini, penularan jangkitan terkawal,” katanya.
Tambah Dr Noor Hisham, KKM akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi bagi memantau penularan jangkitan.
“KKM juga akan menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menjalankan penilaian risiko bagi membolehkan lebih banyak lagi tempat pelancongan dibuka dari masa ke masa,” katanya.