Home Koronavirus 1,284 kes Covid-19 di Kelantan, bukan faktor ‘dine-in’

1,284 kes Covid-19 di Kelantan, bukan faktor ‘dine-in’

0
1,284 kes Covid-19 di Kelantan, bukan faktor ‘dine-in’

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menolak dakwaan kes baharu Covid-19 yang tinggi di negeri ini pada Rabu mempunyai kaitan dengan kelonggaran ‘dine-in’ yang dibenarkan bermula Selasa.

Pada Rabu, Kelantan merekodkan sebanyak 1,284 kes baharu Covid-19 berbanding hanya tiga angka pada awal Ogos.

Keadaan ini menyebabkan pelbagai pihak beranggapan kenaikan kes itu adalah disebabkan oleh kelonggaran ‘dine-in’ yang dibenarkan bermula Selasa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin bagaimanapun memberitahu, kenaikan tersebut tiada kaitan dengan aktiviti makan di kedai yang diberikan kelonggaran oleh kerajaan.

“Kelonggaran ‘dine-in’ baru semalam (Selasa). Tiada kaitan dengan itu,” jawabnya ringkas semasa dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Malah katanya, ia melibatkan kes semasa termasuk kluster-kluster sedia ada mahupun kluster baharu yang dicatatkan di setiap daerah dan kawasan.

Menurut laman sosial rasmi JKNK, sehingga jam 12 tengah hari pada Rabu, 1,284 kes yang dicatatkan di negeri ini adalah melibatkan 1,253 kes tempatan, 20 kes penjara dan lokap, lapan kes import B dan tiga import C.

Menurut laman berkenaan, daerah Kota Bharu mencatatkan 348 kes tempatan dan lima kes import B, Gua Musang pula mencatatkan 287 kes tempatan dan Tumpat sebanyak 123 kes tempatan.

Pasir Mas mencatatkan 106 kes, Bachok (104), Tanah Merah (68) dan Jeli sebanyak 56 kes yang kesemuanya masing-masing melibatkan kes tempatan.

Pasir Puteh pula mencatatkan 101 kes tempatan dan satu kes import B, Kuala Krai pula mencatatkan 46 kes tempatan dan satu kes import C manakala di Machang pula 14 kes tempatan, dua import B dan dua import C.

Jumlah kes import aktif adalah sebanyak 136 kes dan jumlah kes penjara dan pusat tahanan ialah sebanyak 416 kes, bagaimanapun kedua-dua kumpulan ini tidak dikira dalam penentuan warna zon.

Dalam perkongsian yang sama, JKNK juga menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat selain memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here