Home Koronavirus 119 Kes libatkan VOC, VOI dikesan: KP Kesihatan

119 Kes libatkan VOC, VOI dikesan: KP Kesihatan

0
119 Kes libatkan VOC, VOI dikesan: KP Kesihatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 119 kes Covid-19 dalam negara, dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Varian Yang Membimbangkan (VOC) dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 14 kes adalah jangkitan dari luar negara, manakala 105 kes jangkitan tempatan dengan 104 kes adalah VOC dan 15 kes adalah VOI.

“VOC yang dilaporkan adalah melibatkan 89 kes varian B.1.351, sembilan kes varian B.1.1.7 dan enam kes varian B.1.617, manakala VOI pula melibatkan 12 kes varian P.3 dan tiga kes varian B.1.525,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga hari ini virus Covid-19 jenis VOC telah dikesan di setiap negeri di Malaysia terutamanya bagi varian B.1.351 dan besar kemungkinan sudah pun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di Malaysia.

“Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu dan sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ianya akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.

Dr Noor Hisham berkata, selain pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) juga akan terus dilaksanakan bagi kawasan-kawasan dengan pelaporan kes yang tinggi.

Katanya tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular ke lokaliti-lokaliti lain dan langkah itu akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dilaksanakan secara bersasar dalam kalangan komuniti yang terlibat.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan terbabit tidak dibenarkan keluar dari rumah sepanjang tempoh perintah PKPD dikuatkuasakan, pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here