Home Koronavirus 1,113 pekerja positif Covid-19 di Terengganu terima faedah Perkeso

1,113 pekerja positif Covid-19 di Terengganu terima faedah Perkeso

0
1,113 pekerja positif Covid-19 di Terengganu terima faedah Perkeso

JERTIH – Seramai 1,113 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang positif Covid-19 di negeri ini dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini sehingga 31 Ogos lalu sudah menerima bayaran faedah di bawah Skim Bencana Kerja Perkeso.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, daripada jumlah itu seramai 1,094 individu yang dijangkiti virus itu di tempat kerja menerima bayaran faedah keseluruhan berjumlah RM663,543.

Beliau berkata, 12 kes melibatkan kematian biasa tetapi bukan disebabkan kluster tempat kerja menerima faedah penakat berjumlah RM24,620 manakala tujuh kes lagi melibatkan pembayaran keseluruhan berjumlah RM14,000 membabitkan kes kematian Covid-19 akibat kluster tempat kerja.

“Setiap pencarum dibayar RM30 hingga RM105 sehari bergantung kepada kelayakan mengikut jumlah hari mereka dirawat sehingga mereka disahkan negatif daripada virus berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas program penyampaian Pencen Penakat kepada balu bekas jurulatih Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di Gong Kepas Dalam di sini pada Jumaat.

Pada majlis tersebut waris kepada Che Andli Che Hashim, 50, yang meninggal dunia September lalu akibat Covid-19 menerima bantuan Perkeso.

Balu Allahyarham, Siti Mastura Makthar, 33, bersama empat anaknya menerima pencen penakat sebanyak RM1,040 sebulan dan bayaran Faedah Pengurusan Jenazah RM2,000.

Simbolik penyerahan bantuan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

“Diharapkan faedah Perkeso dan bantuan itu dapat membantu dan mengurangkan beban Siti Mastura yang tidak bekerja bagi menyara empat anaknya yang masih belajar,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here