Home Koronavirus 1,055 sekolah jadi PPV PICKids

1,055 sekolah jadi PPV PICKids

0
1,055 sekolah jadi PPV PICKids

SHAH ALAM – Sebanyak 1,055 buah sekolah dikenal pasti akan menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu akan memudah serta mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah.

“Kesemua 1,055 sekolah ini akan menjadi pusat pemberian vaksin kepada murid di sekolah terbabit selain murid daripada sekolah berhampiran.

“Kesemua PPV sekolah akan mula beroperasi selewat-lewatnya 14 Februari ini dan dijangka jumlah PPV akan bertambah dari masa ke masa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sejak 3 hingga 10 Februari lalu, seramai 79,393 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid jenis Comirnaty keluaran Pfizer BioNTech.

Dalam pada itu Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CIT-F) memaklumkan, pemberian vaksin akan dilaksanakan oleh pasukan kesihatan sekolah atau pengamal perubatan swasta melibatkan senarai nama murid yang disediakan pihak sekolah.

Justeru katanya, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar anak mereka sebagai tanggungan bagi mendapatkan janji temu vaksin serta sijil digital vaksinasi.

“Ibu bapa atau penjaga yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan melalui pihak pengurusan sekolah.

“KPM bersetuju untuk membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi melancarkan pelaksanaan vaksinasi Covid-19.

“Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi,” ujarnya.

Dalam pada itu Noor Azmi turut mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat rehat pada malam sebelum divaksin, bersarapan pagi dan minum air secukupnya sebelum ke PPV.

Katanya, ibu bapa juga perlu mengawasi anak mereka supaya tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here