KUALA LUMPUR – Seramai 1,104,873 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 setakat 1 Jun, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dr Adham menerusi akaun Twitternya pada Rabu berkata, seramai 2,002,345 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 3,107,218 setakat semalam (Selasa).
Beliau berkata, lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 143,797 dos diikuti Sarawak (111,176), Perak (105,014), Kuala Lumpur (99,538) dan Johor (97,798).
Setakat semalam (Selasa), 51.20 peratus atau 12,414,513 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,299,145 orang.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – Bernama