SHAH ALAM – Menteri Kewangan dan mana-mana pemimpin kerajaan tidak ada asas mengugut ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 atas alasan jika ditolak, penjawat awam dan barisan hadapan tidak akan menerima gaji, pencen serta elaun.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri pada tahun 1999, Belanjawan 2000 yang telah dibentangkan dalam bulan Oktober tidak diteruskan perbahasannya kerana Parlimen telah dibubarkan pada bulan November tahun tersebut untuk PRU10 diadakan.
“Setelah pilihan raya selesai, kerajaan dengan mandat baru telah mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk peruntukan awal bagi perbelanjaan kerajaan untuk dua atau tiga bulan sementara menunggu Persidangan Khas Belanjawan diadakan dalam bulan Februari 2000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, peruntukan awal ini bagi memastikan perbelanjaan pentadbiran tidak terganggu dan gaji, pencen serta elaun penjawat awam tidak terjejas.
Ujarnya lagi, peruntukan ini juga termasuk pembayaran untuk peruntukan tambahan yang lain sama ada untuk kementerian ataupun untuk memudahkan kehidupan rakyat.
“Dalam konteks ini, Menteri Kewangan dan lain-lain pemimpin kerajaan amatlah tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang jelas bertujuan untuk menekan ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021, walaupun ia adalah belanjawan yang banyak kekurangan dan keburukannya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan Tun M tolak Belanjawan 2021 jika gagal penuhi syarat
Tegasnya, kenyataan berbaur ugutan itu bertujuan mengekang ahli Parlimen daripada melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan belanjawan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik parti yang memerintah.
“Berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan yang lain, jika belanjawan itu ditolak, rakyat dan penjawat awam akan menderita akibat dari sikap ahli-ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021.
“Jika itulah pendirian Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan, ia bermakna ahli Parlimen perlu memberi ‘blank cheque’ dan menyokong untuk kelulusan belanjawan tersebut walaupun terdapat kecacatan yang nyata di dalamnya,” katanya.
Justeru beliau berharap, Menteri Kewangan dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang di dalam keresahan kehilangan kuasa berhenti dari mengeluar kenyataan tidak berasas yang menakut-nakutkan rakyat semata-mata untuk kelangsungan politik mereka.