Home belanjawan2021 Terima kasih kerajaan: Cuepacs

Terima kasih kerajaan: Cuepacs

0
Terima kasih kerajaan: Cuepacs

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik keputusan majoriti ahli Parlimen yang memutuskan untuk meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, beliau optimis belanjawan tersebut akan tetap diluluskan meskipun ia perlu menjalani perbahasan di peringkat jawatankuasa selepas ini.

Menurutnya, belanjawan kali ini amat penting bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam secara keseluruhannya mampu menjadi pemudah cara kepada rakyat supaya mereka dapat keluar daripada kemelut ekonomi akibat daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

“Cuepacs menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen yang terlibat dalam memastikan Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

“Walaupun kelulusan Belanjawan 2021 itu hanyalah di peringkat dasar sahaja, Cuepacs optimis belanjawan tersebut akan tetap diluluskan sekali lagi selepas ia dibahas di peringkat jawatankuasa selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata, belanjawan kali ini amat penting buat penjawat awam kerana mereka secara langsung bertanggungjawab bagi memastikan setiap agenda dan dasar kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempertimbangkan cadangan Cuepacs supaya memperluaskan bantuan khas kepada lebih ramai petugas barisan hadapan.

“Alhamdulillah kerajaan telah bersetuju untuk memanjangkan pemberian bantuan ‘one-off’ kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300.

“Pengumuman ini sudah tentu menaikkan lagi moral petugas barisan hadapan kita yang ketika ini bertungkus-lumus memerangi penularan koronavirus (Covid-19) demi keselamatan rakyat

“Selain itu, keputusan kerajaan untuk mengkaji dan menyelaras semula kadar elaun perumahan penjawat awam membuktikan kerajaan peka dengan kebajikan penjawat awam,” katanya.

Katanya, pengumuman tersebut pastinya akan menaikkan lagi moral petugas barisan hadapan yang ketika ini bertungkus-lumus memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan rakyat.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan bahawa Usul Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November telah diluluskan dalam undian di Dewan Rakyat hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here