ALOR SETAR – Semua pihak diharap tidak mengeksploitasi isu peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kerana peranannya kini berubah mengikut situasi semasa.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, Jasa bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan lagi dijadikan alat kerajaan untuk menyebarkan propaganda politik sebaliknya sebagai medium untuk mendengar rintihan rakyat.
Menurutnya, era Jasa yang dikaitkan sebagai alat propaganda sudah berakhir.
“Jasa merupakan sebuah jabatan berkaitan hal ehwal khas. Peranannya berubah mengikut situasi semasa, difahamkan tujuannya adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa mendengar dan faham rintihan rakyat.
“Pada masa sama rakyat juga boleh dapat maklumat tepat daripada kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.
Wan Saiful berkata, isu Jasa sengaja dieksploitasi bagi mengaburi pandangan rakyat berkaitan Belanjawan 2021 yang bersifat prihatin rakyat dan bermatlamat membantu segenap lapisan masyarakat.
“Sudah-sudahlah bahas isu peruntukan Jasa. Begitu banyak fokus bajet tetapi sengaja ditumpukan untuk pesongkan matlamat Jasa dikembalikan kerana tidak banyak isu lain boleh dimainkan pembangkang.
“Tak perlulah kita menari mengikut rentak pihak yang sentiasa mencari kesempatan untuk membangkang,” katanya.
Kerajaan PN menghidupkan semula unit Jasa dengan peruntukan RM85.5 juta di bawah Belanjawan 2021.
Operasi Jasa dihentikan selepas PH menjadi kerajaan persekutuan sebagai langkah mengurangkan kos.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, teknologi yang diperlukan untuk komunikasi berkesan bukannya murah dan tidak pelik jika peruntukan yang secukupnya diberikan kepada Jasa.
“Dalam era media sosial, teknologi yang diperlukan untuk komunikasi berkesan memang tidak murah. Peruntukan yang secukupnya perlu diberikan untuk memastikan kerajaan mempunyai teknologi dan kelengkapan sesuai dengan era media sosial.
“Itu belum untuk kos menangkis berita palsu yang sengaja disebarkan. Mungkin sebab itu peruntukan emolumen hanya sekitar RM4 juta daripada jumlah yang diperuntukkan. Tak besar pun sebenarnya, yang lain boleh digunakan untuk pembelian keperluan teknologi,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlukan pelaburan dalam teknologi baharu untuk menggarap permintaan rakyat, sewajarnya inisiatif kerajaan harus tepat dengan keperluan rakyat.
“Pada masa sama, pegawai yang dilantik mestilah berkelayakan dan berkebolehan. Jangan yang tak layak dilantik juga. Jika buat begitu, pasti rakyat akan marah,” katanya.