Home belanjawan2021 RUU Perbekalan 2021 bagi JPM lulus peringkat jawatankuasa

RUU Perbekalan 2021 bagi JPM lulus peringkat jawatankuasa

0
RUU Perbekalan 2021 bagi JPM lulus peringkat jawatankuasa

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM4.47 bilion menerusi undi belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian berkata sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju, manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir.

Undi belah bahagian itu diadakan selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun meminta proses belah bahagian dilakukan.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi JPM, menyentuh isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jumlah pelantikan anggota pentadbiran yang besar.

Mohd Redzuan berkata, pelantikan itu berdasarkan keperluan kerajaan terutama dalam memastikan segala program dan projek kerajaan dilaksanakan dengan cekap, lancar serta memberi impak yang lebih bermakna.

“Dalam hal ini, jumlah anggota pentadbir Perikatan Nasional tak terlalu besar, walaupun ada penambahan berbanding ketika kerajaan Pakatan Harapan. Ini dibuat atas keperluan semasa bagi memastikan segala projek kerajaan berjalan lancar dan memberi impak yang lebih bermakna,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menggulung perbahasan bagi pihak portfolio beliau berkata, lebih daripada RM536 juta zakat dikutip oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) khusus untuk membantu mereka yang terjejas ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagi inisiatif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula Mac lepas, menurutnya, MAIWP membelanjakan hampir RM75 juta untuk membantu mereka yang terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung isu berkaitan Parlimen dan Undang-undang pula berkata, kerajaan sedang meneliti penubuhan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Menurutnya, berdasarkan libat urus dan tinjauan yang dijalankan terhadap pegawai yang sedang berkhidmat di Parlimen mereka lebih cenderung agar perkhidmatan Parlimen dibuat secara terbuka atau ‘open service’ kerana menganggap ia lebih baik dari segi kenaikan pangkat dan peluang kerjaya yang lebih luas.

“Akta Perkhidmatan Parlimen yang pada asalnya ditubuhkan pada 1963 tapi telah dibatalkan pada 20 November 1992. Untuk maklumat, draf Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen sebenarnya telah ada disediakan. Namun demikian kerajaan memperhalusi dan meneliti kembali penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di peringkat Jawatankuasa bagi JPM selama kira-kira satu jam 45 minit.

Perbahasan hari pertama peringkat jawatankuasa rang undang-undang itu tertumpu kepada pelbagai isu, antaranya berkaitan peruntukan perbelanjaan untuk Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah, penyerapan pekerja kontrak, peruntukan perbelanjaan hal ehwal Islam, pilihan raya kecil Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri Bugaya serta Sabah dan Sarawak. – Bernama

[LIVE] Sidang Parlimen Dewan Rakyat (Sesi Pagi) -30 November 2020 #SinarHarian #Parlimen #DewanRakyat https://t.co/nnMBmAVVww

— SinarOnline (@SinarOnline) November 30, 2020

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here