SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) hari ini memberi bayangan akan menolak Belanjawan 2021 kerana tidak menepati matlamat untuk membantu rakyat, memerangi Covid-19 dan menghidupkan semula ekonomi.
Kenyataan bersama Setiausaha Agung parti-parti dalam PH berkata, keputusan itu juga dibuat selepas meneliti perkembangan politik mutakhir ini terutama berkaitan perjalanan Parlimen, keabsahan kerajaan dan isu-isu yang ditimbulkan di dalam perbahasan Belanjawan 2021.
“Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa apa yang diumumkan Menteri Kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media.
“Ia tidak memenuhi apa yang dipohon dan diharapkan ramai ahli-ahli Parlimen, malah juga rakyat amnya.
“Ini termasuk isu Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), moratorium pinjaman bank, bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup makin meningkat dan banyak lagi,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.
Sementara itu, kenyataan itu turut menyebut, PH sebelum ini menyatakan akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa dan akan membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga esok.
“Oleh demikian, PH menggesa agar semua ahli Parlimen sama ada di sebelah pembangkang mahupun dari kalangan penyokong kerajaan yang memahami bahawasanya Belanjawan ini tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat, dan menghidupkan semula ekonomi, agar memilih untuk menolaknya pada bacaan kali ketiga esok,” katanya.