PEKAN – Kerajaan diminta meneliti semula peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM50 juta berkaitan pelancongan kerana didakwa tidak mencukupi untuk kegunaan 14 negeri.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, jumlah tersebut sepatutnya mengambil kira keperluan dan kebajikan pemain industri berkenaan apatah lagi pemain industri menghadapi masalah perniagaan yang serius akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
“Mereka tergolong kalangan yang berpendapatan harian. Kalau ada jualan, ada pendapatan. Justeru, mereka perlu dibantu dalam banyak aspek seperti pengecualian cukai.
“Berikutan Covid-19, mereka kehilangan pelanggan. Kalau pengusaha hotel, mereka kehilangan penginap bilik, kalau pengusaha bas pelancongan mereka kehilangan tempahan pakej perjalanan dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Pemantauan Tasik Chini dan Sambutan Hari Alam Sekitar 2020 Peringkat Negeri Pahang di Tasik Chini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Sani Mat Daud dan Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.
Mohd Sharkar berkata, industri pelancongan merupakan penyumbang keempat terbesar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan beberapa insentif seperti pengurangan cukai pendapatan sekiranya rakyat memperhebatkan pelancongan domestik.
“Insentif seperti ini akan menggalakkan orang ramai melancong, menginap di hotel atau resort dan seterusnya berbelanja dalam negara. Hal ini akan membantu pengusaha hotel dan penduduk tempatan serta permain industri memperoleh pendapatan,” katanya.