Home belanjawan2021 Peruntukan kesihatan 2021 lebih besar

Peruntukan kesihatan 2021 lebih besar

0
Peruntukan kesihatan 2021 lebih besar

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan terdapat pengurangan peruntukan mengurus diterima kementerian itu dalam Belanjawan 2021 seperti didakwa sesetengah pihak.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, sebaliknya perbelanjaan itu telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah program khusus.

Beliau berkata, sebelum ini, semua peruntukan untuk bekalan perubatan bagi keperluan farmasi hospital, klinik kesihatan termasuk klinik pergigian diletakkan di bawah aktiviti dan mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Bagaimanapun, mulai tahun 2021, peruntukan bekalan perubatan bagi keperluan di atas yang berjumlah RM4.29 bilion dipindahkan di bawah Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan (RM2.89 bilion) dan di bawah Komitmen Kewangan bagi Pelaksanaan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat dan Stor (RM1.4 bilion).

“Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan (ubat, gas perubatan, reagen, vaksin, consumables dan filem x-ray) ini diletakkan di bawah Butiran Program Khusus.

“Konsesi Penswastaan Makmal Ubat dan Stor pula diletakkan di bawah Butiran Komitmen Kewangan,” katanya pada sesi taklimat media di kementeriannya di sini semalam.

Selain itu, beliau berkata, sejumlah RM2.065 bilion peruntukan bagi Perkhidmatan Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK) telah dipindahkan daripada Peruntukan Mengurus kepada Peruntukan Pembangunan.

“Jadi, secara umumnya, ramai melihat terdapat pengurangan peruntukan mengurus KKM sebanyak 2.57 peratus pada tahun ini. Bagaimanapun, perkara ini adalah kurang tepat,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif kesihatan tidak hanya terletak di bawah KKM semata-mata tetapi turut membabitkan kementerian lain.

“Sebagai contoh, inisiatif pengurangan cukai bagi perbelanjaan perubatan dan MySalam di bawah Kementerian Kewangan, program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan pembinaan taska buat petugas barisan hadapan,” katanya.

Tambah beliau, meskipun ketika ini fokus dan keutamaan diberikan dalam usaha memerangi wabak koronavirus

(Covid-19), namun aspek kesihatan lain tidak dipinggirkan.

“Kerajaan juga terus komited dengan usaha menambah baik serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sektor kesihatan pada tahun hadapan,” katanya.

Menurut beliau, peruntukan disediakan KKM dalam Belanjawan 2021 itu telah mengambil kira segala keperluan untuk membolehkan kementerian berkenaan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here