[#item_custom_image_url]
KUALA LUMPUR – Peruntukan RM20 juta kepada Jabatan Penjara bagi Program Pembangunan Insan (PPI) menerusi Belanjawan 2021 antaranya, adalah untuk pembinaan Kompleks Tenun Pahang Diraja tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.
Menurutnya, satu lokasi akan dikenal pasti di Pahang bagi membina kompleks berkenaan yang bakal mengadakan kelas tenunan kepada banduan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi meningkatkan kemahiran vokasional mereka.
Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha menubuhkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Dalam Negeri dalam melahirkan banduan berkemahiran vokasional.
“Bengkel-bengkel di setiap penjara yang berkait dengan Tenun Pahang Diraja, songket dan batik juga akan ditambah baik,” katanya kepada Bernama.
Menurut Zulkifli, selain menambah baik infrastruktur dan membaik pulih bengkel serta mesin, pihaknya juga akan memperkasakan persijilan banduan dalam bidang songket dan daster (tenun Pahang Diraja) serta batik bagi mengekalkan warisan fabrik tradisional itu.
Dalam pada itu, Zulkifli menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih ke atas kesudian Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima lantikan sebagai Penaung Diraja produk My Pride keluaran Jabatan Penjara.
“Diharap banduan dapat menggunakan peluang ini untuk membuktikan mereka mampu bangkit semula untuk menyumbang jasa bakti kepada negara,” katanya.
Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat, memperuntukkan RM20 juta kepada Jabatan Penjara bagi melaksanakan PPI untuk banduan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kamarudin Mohd Rapiq berkata, peruntukan RM153 juta dalam Belanjawan 2021 akan digunakan bagi menambah baik kemudahan di pusat-pusat latihan Rela serta modul latihan dan kursus keupayaan penugasan anggota yang semakin kompleks.
Katanya, langkah itu membolehkan lebih ramai anggota Rela menjalani latihan sekali gus memperkasakan pasukan Rela dalam membantu agensi penguatkuasaan lain daripada aspek keselamatan. – Bernama