SHAH ALAM – Inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2021 sebenarnya hasil cadangan daripada ahli-ahli Parlimen, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau menjelaskan, keputusan untuk memanjangkan bantuan berkenaan dibuat selepas mengambil kira hujahan daripada beberapa ahli Parlimen berikutan gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) yang masih menular dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri.
“Sebagai contoh, cadangan untuk memanjangkan pemberian khas secara ‘one-off’ kepada petugas barisan hadapan yang diiktiraf di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah dibangkitkan parti politik yang berbeza seperti Ahli Parlimen Pontian, Ipoh Barat, Hulu Rajang dan Lembah Pantai.
“Begitu juga dengan penambahan pemberian program eBelia daripada RM50 kepada RM100, serta perluasannya kepada 1.1 juta mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
“Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Arau dan Muar. Ini kerana kesemua mereka amat prihatin akan isu kebajikan mahasiswa,” jelasnya menerusi akaun Facebook beliau hari ini.
Tengku Zafrul berkata, penambahbaikan lain seperti peruntukan tambahan kepada Sabah bagi memerangi Covid-19 seperti pelepasan cukai untuk pengurangan sewaan premis oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bantuan untuk pekebun kecil getah dan nelayan darat sememangnya melalui proses perbahasan di Dewan Rakyat atau dibangkitkan rakyat sendiri menerusi pelbagai saluran.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul mengakui kerajaan tidak mampu menerima atau melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan.
“Seperti yang saya sebut ketika penggulungan tempoh hari, peranan kerajaan adalah untuk sentiasa mengimbangi kepentingan yang pelbagai baik dari segi implikasi kos, memastikan penerima adalah yang benar-benar memerlukan dan juga implikasi kepada pasaran atau penarafan ekosistem perbendaharaan negara.
“Malah, saya mengaku bahawa ia bukanlah mudah untuk mengimbanginya,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, apabila berbangkitnya pertembungan antara kepentingan itu, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta tiada kompromi.
“Pada kesempatan ini, saya ingin membuat ‘shout-out’ atau pengiktirafan kepada penjawat awam di Kementerian Kewangan dan agensi-agensi perbendaharaan.
“Merekalah yang memberi panduan, nasihat dan kadang kala teguran kepada saya, bahkan memainkan peranan semak imbang yang penting dalam kesemua pertimbangan ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sebahagian inisiatif penambahbaikan itu juga tergolong dalam kategori bantuan langsung, subsidi dan insentif.
Secara keseluruhan, katanya, ia mencecah lebih RM30.8 bilion bagi tahun 2021 iaitu jauh lebih tinggi daripada RM23.9 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2019.
“Sebagai contoh, bantuan kebajikan bulanan kepada 400,000 golongan terjejas ditingkatkan hampir 47 peratus atau RM700 juta kepada RM2.2 bilion berbanding RM1.5 bilion sebelum ini.
“Sebanyak 20 peratus juga ditingkatkan kepada orang kurang upaya (OKU) yang tidak bekerja, 43 peratus kepada warga emas, bantuan penjagaan OKU dan pesakit kronik yang terlantar serta 12.5 peratus kepada para pekerja OKU.
“Yang paling penting sekali adalah peningkatan bantuan sehingga 122 peratus untuk kanak-kanak keluarga miskin atau bantuan maksimum RM1,000 sekeluarga. Ini adalah komitmen kerajaan dalam membantu golongan rentan, sekali gus memastikan kebajikan anak-anak kita terjaga,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai pihak mempunyai persepsi yang berbeza mengenai belanjawan tersebut dan realitinya tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan juga mempertahankan ekonomi negara.
“Terciptanya belanjawan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan kehidupan agar rakyat kita mampu menghadapi cabaran ekoran wabak (Covid-19), bukan hanya ketika menghadapi gelombang ketiga ini tetapi juga bersedia bagi pertumbuhan selepas mengatasi Covid-19 nanti.
“Kebijaksanaan pepatah lama menyatakan ‘tiada buluh yang tidak berbuku’. Maka, sama juga tiada belanjawan yang seratus peratus sempurna,” katanya.
Beberapa penambahbaikan yang saya umum semalam adalah hasil cadangan & idea yang dibangkitkan Ahli Parlimen ketika sesi…
Posted by Tengku Zafrul on Friday, November 27, 2020