Home belanjawan2021 Bukti ahli Parlimen sedar dan insaf: Muhyiddin

Bukti ahli Parlimen sedar dan insaf: Muhyiddin

0
Bukti ahli Parlimen sedar dan insaf: Muhyiddin

SHAH ALAM – Belanjawan 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini merupakan bukti bahawa ahli Parlimen sedar dan insaf akan kepentingan belanjawan berkenaan kepada kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelulusan belanjawan tersebut penting bagi memastikan pelaksanaan pelbagai polisi pembangunan yang dirancang bagi mengatasi pandemik Covid-19 dan membantu segenap lapisan masyarakat Malaysia

“Sokongan padu ini membuktikan kerajaan PN sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

“Ini juga membuktikan ahli-ahli Parlimen yang menyokong menyedari dan menginsafi bahawa belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang dengan keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik Covid-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat seluruh lapisan masyarakat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin berkata, tindakan ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar belanjawan diluluskan tanpa gangguan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. – Foto Bernama

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa sehingga kepada bacaan kali ketiga.

“Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua ahli Parlimen kerajaan yang turut menyokong rang undang-undang ini ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu turut memberikan penghargaan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz atas usahanya bagi memastikan kejayaan Belanjawan 2021.

“Saya sekali lagi, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang bekerja keras menyediakan Belanjawan 2021 ini dari peringkat awal sehingga diluluskan hari ini,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini telah meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 Belanjawan 2021 itu selepas memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga oleh Tengku Zafrul yang menyaksikan seramai 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

ARTIKEL BERKAITAN Belanjawan 2021 lulus di Dewan Rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here