Home bajet2022 Tangani karenah birokrasi, terus tuju kelompok sasaran

Tangani karenah birokrasi, terus tuju kelompok sasaran

0
Tangani karenah birokrasi, terus tuju kelompok sasaran

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Penyediaan dana sehingga RM64 bilion dalam Belanjawan 2023 menerusi subsidi, bantuan dan insentif sebagai usaha meminimumkan kos sara hidup disifatkan sebagai antara langkah terbaik membantu rakyat keluar daripada kepompong ‘ cukup makan’.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, bagaimanapun, berkata, inisiatif tersebut harus dipermudahkan agar bantuan itu terus sampai kepada rakyat tanpa perlu berhadapan dengan karenah birokrasi.

“Misalnya, pemberian insentif getah boleh diberikan secara terus ke dalam akaun penoreh getah kecil berbanding dengan amalan semasa iaitu penoreh perlu ke pejabat bagi membuat tuntutan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 semalam, turut meminta kementerian berkenaan yang menguruskan perkara berkaitan agar memastikan hal tersebut dilaksana secara berkesan bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang ketirisan.

Dalam pada itu Muhammad Iqmal Hisham berkata langkah kerajaan mengurangkan kadar cukai individu sebanyak dua peratus kepada golongan M40, dilihat mampu memberi manfaat kepada kumpulan itu dengan perolehan lebihan pendapatan boleh guna hingga RM1,300.

Ini kerana, katanya, dalam berhadapan isu kos sara hidup yang semakin mencengkam, golongan M40 juga merupakan antara kelompok yang turut menerima tempias sehingga ada yang telah tergelincir kepada B40.

Sementara itu, pandangan berbeza disuarakan Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dari fakulti sama dengan menyifatkan peruntukan sebanyak RM64 bilion bagi menangani isu sara hidup sebagai jumlah yang tidak mencukupi.

Bagaimanapun, beliau memuji langkah kerajaan melaksanakan Jualan Rahmah serta Bakul Rahmah yang sedikit sebanyak berupaya memberikan sinar senyuman buat golongan B40 yang berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

“Selain itu, sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak kepada isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 menerusi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah satu inisiatif yang baik terutama kepada mereka yang daripada golongan miskin tegar.

“Langkah kerajaan ini merupakan satu tindakan yang harus dipuji kerana berusaha mengeluarkan golongan ini daripada episod kemiskinan,” katanya. – Bernama