Home bajet2022 'Tanda keprihatinan kerajaan tangani kos sara hidup'

'Tanda keprihatinan kerajaan tangani kos sara hidup'

0
'Tanda keprihatinan kerajaan tangani kos sara hidup'

Salahuddin

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam mendepani dan menangani isu kos sara hidup serta kemaslahatan hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau yang bertanggungjawab berkenaan isu kos sara hidup turut menyambut baik belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan prinsip Madani.

“Belanjawan 2023 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terus diberi keutamaan, manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan.

“KPDN terus diberikan tanggungjawab untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup negara selain peneraju kepada pembangunan Sektor Perdagangan dan Pengedaran serta kebajikan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup, program menstabilkan kos sara hidup rakyat diberikan tumpuan menerusi Konsep Payung Rahmah.

“Antaranya Kempen Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah. Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan bagi tujuan Program Jualan Rahmah yang membolehkan KPDN melaksanakan jualan itu di semua 222 kawasan Parlimen.

“Secara tidak langsung, peruntukan itu dapat memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan menerusi program ini, rakyat akan menikmati harga barangan asas sehingga 30% lebih murah berbanding harga pasaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan Kerajaan Perpaduan prihatin terhadap nasib penduduk di luar bandar.

“Ini dapat dilihat melalui peruntukan sebanyak RM225 juta yang diluluskan untuk KPDN meneruskan Program Pengedaran Barangan Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Community Drumming.

“KPDN akan melaksanakan pengedaran barangan keperluan asas kepada penduduk di 822 kawasan pendalaman di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah.

“Ini termasuklah 25 kawasan pengedaran baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, program itu akan memberi manfaat kepada 1.28 juta penduduk luar bandar di enam negeri tersebut.

“Mereka dapat membeli tujuh barangan keperluan iaitu tepung gandum kegunaan am, gula putih bertapis kasar, beras putih dan minyak masak sawit tulen paket 1kg/ botol 1liter, LPG serta Petrol RON95 dan diesel pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

“KPDN komited untuk memastikan subsidi yang diperuntukkan ini akan dinikmati oleh golongan yang layak serta melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan subsidi tersebut,” ujarnya.

Pada masa sama, KPDN menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit.

“Usaha ini akan dapat melindungi hak-hak pengguna dan perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, KPDN akan terus memastikan peruntukan yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2023 ini digunakan mengikut perancangan agar impak dan manfaat yang baik dapat dinikmati oleh rakyat.

“Adalah diharapkan segala pelaksanaan KPDN ini akan menyokong gagasan Malaysia Madani yang telah diperkenalkan Perdana Menteri baru-baru ini,” ujarnya.