Home bajet2022 SPNB sasar bina lebih banyak RMR

SPNB sasar bina lebih banyak RMR

0
SPNB sasar bina lebih banyak RMR
Mohd Nizar (tengah) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang pemilik RMR ketika program Taklimat Permohonan, Serah Kunci dan Penghargaan kepada kontraktor RMR di Arena Square Parit pada Khamis.

PARIT – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyasarkan untuk membina lebih banyak Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi membantu rakyat terutama golongan B40 untuk memiliki kediaman sendiri.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, SPNB bersedia dan berkemampuan untuk membina kediaman mampu milik itu sekiranya kerajaan menambah peruntukan menerusi Bajet 2023 minggu hadapan.

“Tahun 2022, sebanyak 5,000 unit telah pun siap dan ada beberapa unit sedang dilaksanakan. Saya yakin dan percaya untuk tahun 2023, kerajaan akan memberikan sejumlah unit mungkin 6,000 atau 10,000 unit.

“Kita mampu dan bersedia jika kerajaan beri lebih peruntukan bagi membina rumah RMR. Kita nantikan bajet kali ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Taklimat Permohonan, Serah Kunci dan Penghargaan kepada kontraktor RMR di Arena Square Parit di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah.

Menurut Mohd Nizar, setakat ini lebih 51,000 RMR siap dibina di seluruh negara.

Katanya, harga setiap unit adalah sebanyak RM75,000 tetapi pemohon hanya perlu membayar sebanyak RM50,000 selepas kerajaan bersetuju memberi subsidi sebanyak RM20,000.

“SPNB juga mempunyai projek perumahan kediaman dengan harga tidak lebih RM300,000 dan di Perak ada beberapa lokasi antaranya Batu Gajah, Chemor dan Kamunting serta negeri-negeri lain.

“Polisi kerajaan adalah membantu mereka memiliki rumah dan pada masa sama kita membantu para kontraktor. Jadi, pihak kontraktor terlibat perlu menyiapkan rumah pemohon mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here