Home bajet2022 Semak semula sistem penyampaian, elak ketirisan Bajet 2022

Semak semula sistem penyampaian, elak ketirisan Bajet 2022

0
Semak semula sistem penyampaian, elak ketirisan Bajet 2022
Mohd Azmi

ALOR SETAR – Sistem penyampaian oleh agensi kerajaan wajar disemak semula bagi mengelak ketirisan dalam menyalurkan peruntukan RM11.4 bilion khususnya berkaitan memperkasakan agenda bumiputera.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan harus mengambil kira keluhan bumiputera berskala kecil dalam menyalurkan peruntukan Bajet 2022 itu dengan melibatkan semua golongan usahawan, petani, pekebun, penternak dan peniaga kecil yang tidak beroleh manfaat daripada peruntukan diumumkan.

Menurutnya, Bajet 2022 disalurkan menerusi pelbagai inisiatif, namun hanya segelintir yang mendapat jalan mudah melalui hubungan politik untuk menikmati manfaat yang diperuntukkan.

“Jika tujuan Bajet 2022 adalah untuk memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus diberikan keutamaan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini, maka kerajaan disaran menyemak secara teliti sistem penyampaian untuk membolehkan agenda itu direalisasikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika mengumumkan Bajet 2022 memaklumkan RM6.6 bilion disalurkan bagi kemudahan pendidikan anak bumiputera bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Peneraju (Peneraju).

Sejumlah RM4.8 bilion pula diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun) dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, penyaluran bantuan atau pinjaman melalui pelbagai skim dan agensi untuk bumiputera bergantung kepada sistem penyampaian yang telus dan efisien.

“Antara keluhan bumiputera adalah berkaitan ketelusan dalam menentukan pihak yang layak. Selain salah urus dan rasuah termasuk campur tangan politik antara penghalang agenda pemerkasaan bumiputera.

“Mereka kesal cara penyampaian peruntukan dipenuhi dengan prosedur yang menyusahkan, bagi golongan yang mempunyai hubungan politik kelulusan peruntukan disalur dengan mudah,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mahu kerajaan memastikan pengurusan setiap agensi yang diamanahkan untuk mengendalikan peruntukan bersih daripada amalan rasuah dan campur tangan politik.

“Prestasi penyampaian peruntukan perlu sasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya keberkesanan bajet yang disalurkan mencapai matlamat.

“Semak semula prosedur skim bantuan dan pinjaman yang membebankan usahawan bumiputera berskala sederhana dan kecil agar golongan layak tidak terpinggir. Disaran agensi pemantauan perlu mengeluarkan laporan enam bulan sekali untuk penilaian prestasi,” katanya.

Mohd Azmi tegaskan, berbilion ringgit disalurkan sejak 64 tahun negara merdeka, namun ketirisan peruntukan terus berlaku selain agenda bumiputera masih tidak capai matlamat.

“Pelbagai agensi bumiputera diwujudkan di peringkat kerajaan pusat, negeri, badan berkanun, yayasan dan dewan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Malangnya ratusan juta ringgit tercicir dan tidak sampai kepada kumpulan selayaknya.

“Laporan audit negara banyak mendedahkan kes salah perbelanjaan dan salah urus peruntukan. Banyak kes dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun amalan salah urus dan rasuah masih berleluasa,” katanya lagi.

Dakwanya, untuk kepentingan politik, kerap berlaku kumpulan bumiputera tertentu mendapat layanan istimewa berbanding yang layak.

“Selama lima dekad peruntukan bajet tahunan dan sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) belum berhasil mengangkat martabat bumiputera khasnya dalam ekonomi.

"Aset bumiputera Melayu semakin mengecil sama ada milik perseorangan mahupun agensi rasmi Melayu. Bukan sedikit agensi bumiputera Melayu diwujudkan di peringkat Pusat dan negeri, namun status sosioekonomi mereka masih jauh terbelakang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here