Home bajet2022 Semak kadar RMT dalam Bajet 2023

Semak kadar RMT dalam Bajet 2023

Semak kadar RMT dalam Bajet 2023
Radzi menyampaikan amanat pada Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Kompleks E pada Jumaat. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menyemak semula kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di dalam Bajet 2023.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu perlu dan telah dikemukakan dalam sesi libat urus bersama MOF bulan lalu.

“Kadar RMT yang sekarang ini RM2.50 wajar diberi pertimbangan oleh MOF di dalam Bajet 2023 kerana ramai pengusaha terkesan dengan situasi ekonomi sekarang,” katanya.

Beliau berkata, sebarang peningkatan kos dalam penyediaan RMT memberi kesan kepada pengusaha apatah lagi jika membabitkan bilangan murid yang rendah di sesebuah sekolah.

“Sekolah murid tidak ramai dengan kadar tersebut lebih terkesan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas program Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di sini pada Jumaat.

Mohd Radzi berkata, KPM turut mengemukakan beberapa cadangan lain antaranya peruntukan peranti untuk guru ke arah pendigitalan sistem pendidikan.

“Sebelum ini kita lihat bahawa kakitangan awam yang lain umumnya ada disediakan komputer ataupun komputer riba namun guru tidak disediakan,” katanya.

Ujar beliau, infrastruktur pendidikan khas turut perlu diberi perhatian di dalam Bajet 2023.

“Kita sedar pendidikan khas negara kita masih jauh berada di belakang berbanding negara-negara lain.

“Sebab itu kita mohon peruntukan untuk melonjakkan pendidikan khas agar murid yang telah tamat belajar dapat berdikari,” katanya.

Sementara itu, pada perkembangan lain, Mohd Radzi berkata, kementerian akan melaksanakan sistem perekodan berpusat pada penghujung tahun ini.

Sistem itu merupakan satu platform untuk guru memasukkan markah pentaksiran bilik darjah (PBD) murid-murid.

“Ini akan meringankan tugas guru kerana tidak perlu memasukkan data sama berulang kali dalam sistem yang berlainan,” katanya.

Beliau berkata, platform sedang dibangunkan itu akan membolehkan data pelajar hanya dikongsikan antara guru dan KPM sahaja.

“Jika pejabat pendidikan daerah (PPD) atau jabatan pendidikan negeri (JPN) memerlukannya, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian,” katanya.

Tambah Mohd Radzi, dengan pelaksanaan sistem tersebut, KPM boleh mengenal pasti keadaan sebenar sesebuah sekolah termasuklah yang memerlukan intervensi.

“Bila data seluruh negara diperoleh, kita boleh cerakinkan mengikut negeri, PPD, kawasan dan sebagainya untuk kita lihat sekiranya perlu mendapat intervensi.

“Katakanlah satu PPD ni mungkin bahasa Inggerisnya jauh ketinggalan dari yang lain kerana tidak ramai guru bahasa Inggeris di kawasan tersebut.

“Jadi kita boleh perincikan, cerakinkan mengikut keperluan kita serta menyusun apakah intervensi yang bersesuaian,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here