Home bajet2022 RM2.7 bilion untuk selenggara, naik taraf jalan raya

RM2.7 bilion untuk selenggara, naik taraf jalan raya

0
RM2.7 bilion untuk selenggara, naik taraf jalan raya

Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar. – Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM2.7 bilion diperuntukan untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4 bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran kecil.

Justeru, kerajaan juga akan memperkenal kaedah baharu dengan memberi kuasa kepada jurutera daerah untuk menyegerakan penurapan jalan rosak.

“Isu kemalangan jalan raya yang kian meningkat juga perlu segera ditangani. Lebih-lebih lagi jika disebabkan kelemahan prosedur kerajaan dalam menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya.

“Kita akan perkenalkan satu kaedah baharu untuk pegawai daerah, pegawai jajahan untuk Kelantan, residensi untuk Sarawak iaitu memberikan kuasa pegawai daerah dan khidmat jurutera daerah untuk memperbaiki masalah-masalah jalan berlubang dan kerosakan kecil dengan segera tanpa mengikuti pandangan jabatan-jabatan yang lain,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau menjelaskan sejumlah RM1.5 bilion disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.

Beliau berkata, khidmat jurutera daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan Persekutuan serta pembaikan segera jalan-jalan berlubang lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima.

“Kerajaan menyediakan RM100 ribu ringgit untuksetiap daerah.

“Sejumlah RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan kemalangan tinggi,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga akan meningkatkan pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada RM5.2bilion.

“Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan serta longkang yang rosak akibat encana,” katanya.