Home bajet2022 PVATM mohon tiga permintaan dimasukkan dalam Bajet 2023

PVATM mohon tiga permintaan dimasukkan dalam Bajet 2023

0
PVATM mohon tiga permintaan dimasukkan dalam Bajet 2023
Sharuddin

KUALA LUMPUR – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon agar isu elaun penerima Pingat Jasa Malaysia, kenaikan jumlah bantuan sara hidup kepada veteran ATM B40 dan pelarasan pencen dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, sememangnya pembentangan bajet 2023 amat dinanti-nantikan warga veteran di seluruh negara kerana tiga permintaan berkenaan melibatkan kebajikan anggota veteran.

“Kami mahu bajet kali ini memberi manfaat kepada semua warga veteran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Sharuddin, sebelum ini PVATM memperjuangkan lima permintaan dengan dua daripadanya iaitu penambahbaikan pencen terbitan serta penubuhan panel penasihat bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera untuk diiktiraf sebagai Veteran ATM telah dipenuhi.

Berkenaan permintaan pelarasan pencen bagi tentera bersara sebelum 2013, seorang bekas juruterbang helikopter Nuri, Mej (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerajaan dalam Bajet 2023 kerana ia berkaitan langsung dengan kehidupan harian pesara.

“Untuk makluman, saya bersara pada 1992 setelah berkhidmat 25 tahun dengan penuh dedikasi. Gaji pokok maksimum pangkat Mejar ketika itu ialah RM2,584. Pencen 50 peratus daripada gaji pokok iaitu sebanyak RM1,292.

“Sehingga 2013 apabila kerajaan beri pelarasan dua peratus setiap tahun. Setelah 26 tahun bersara, baru sekarang (2022) saya menikmati pencen RM2,682. Ini bermakna saya tergolong dalam kategori B40,” katanya sambil berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan positif terhadap permintaan veteran ATM.

Seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat dalam misi pengaman pertama di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo, Ariffin Taib berharap agar kebajikan pesara tentera terutama dari aspek kesihatan tidak dipandang sebelah mata sahaja.

“Perkhidmatan kemudahan di hospital ATM terhadap anggota tentera dan pesara amat baik. Namun, kemudahan daripada segi farmaseutikal perlu dititikberatkan kerana terdapat ubat-ubatan yang diperlukan setelah menerima rawatan di hospital sukar diperoleh dan harganya yang tinggi.

“Misalnya saya yang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan. Setelah mendapatkan rawatan, ada ubat tambahan yang perlu dibeli di luar dan harganya bukannya murah,” katanya.

Beliau berharap kerajaan menimbangkan memperkenalkan inisiatif supaya keperluan ubat-ubatan boleh didapati dengan murah dan mudah kerana tidak semua veteran ATM berkemampuan.

Sementara itu, Penganalisis Pertahanan, Dr Azmi Hassan berkata, peruntukan latihan kemahiran yang lebih baik berbanding sekarang perlu disediakan dałam Bajet 2023 bagi anggota tentera yang bakal bersara agar mereka dapat meneroka peluang kerjaya lain terutama bidang berkaitan teknologi tinggi.

Beliau berkata, peruntukan sedemikian membolehkan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia menyediakan latihan secukupnya supaya pesara tentera itu dapat melakukan kerja berbeza daripada apa yang dilakukan selama ini.

Antaranya kata Azmi, ialah veteran perlu dilengkapkan dengan kemahiran terkini khususnya bidang teknikal bagi memenuhi perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

“Latihan kemahiran ini mungkin menelankan kos yang lebih daripada biasa kerana ia boleh melibatkan pihak luar dalam memberikan latihan yang kondusif kepada veteran atau bakal pesara.

“Apa yang paling penting adalah memberi mereka kemahiran untuk membuat pekerjaan lain dan yang memerlukan kemahiran tinggi supaya mereka dibayar setimpal dengan kemahiran dimiliki,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here