Home bajet2022 Pihak jejas keharmonian, perpaduan negara akan kena tindakan

Pihak jejas keharmonian, perpaduan negara akan kena tindakan

0
Pihak jejas keharmonian, perpaduan negara akan kena tindakan

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen. – Foto Bernama.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan turut akan mengambil tindakan terhadap ‘purveyors’ yang menyalah guna hak kebebasan bersuara sehingga menjejaskan keharmonian dan perpaduan di negara ini.

Beliau berkata, Malaysia tidak akan biarkan sentimen kebencian dibiar menanah sehingga membarah menjadi tindak ganas.

“Suka saya ingatkan supaya tidak ada lagi pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mengapi-apikan perbezaan kaum dan warna kulit.

“Saya beri jaminan di sini bahawa tidak hanya ‘perpetrators’ yang akan diberkas tetapi ia termasuk ‘purveyors’ yang menyalah guna hak kebebasan bersuara.

“Keharmonian dan perpaduan negara harus sentiasa dipelihara tidak kiralah antara wilayah mahupun kaum. Keadilan sosial perlu ditegakkan bagi menutup kesenjangan pembangunan negeri-negeri dan pendapatan rakyat,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau, perpaduan mesti terus penting dan utuh terutamanya dalam usaha kita merungkai isu-isu pokok yang merundung negara.

“Permasalahan rakyat yang saban hari terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup kini sedang ditekuni secara tuntas.

“Kita tidak cuba untuk menerapkan kebijakan yang separuh masak atau yang memihak kelompok elit, tetapi kita harus memastikan ia dirasai segenap rakyat,” katanya.