Home bajet2022 PH bentang Strategi Bajet 2022

PH bentang Strategi Bajet 2022

PH bentang Strategi Bajet 2022

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) pada Rabu membentangkan Strategi Bajet 2022 yang berorientasikan kepada usaha-usaha reformasi, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Strategi Bajet 2022 yang dibentangkan oleh PH ini telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

Dokumen strategi ini mengandungi 12 cadangan perbelanjaan iaitu menyeru suntikan dana segera berjumlah RM45 bilion berkaitan Covid-19 bagi membantu rakyat.

Selain itu, kerajaan perlu memartabatkan institusi Parlimen sebagai platform dwipartisan tulen yang berkesan; menyokong pemulihan golongan rentan; mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dan mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial.

Cadangan lain termasuklah mengukuhkan perkhidmatan sosial; memastikan taraf hidup dan mobiliti yang baik; melindungi wanita dan kanak-kanak dan membuat langkah-langkah khusus untuk Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, menerusi strategi ini, cadangan lain yang dikemukakan ialah ‘reindustrialisation’ iaitu menggalakkan pelaburan bernilai tinggi; reformasi fiskal dan membuat geran-geran khas.

Dalam pada itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka telah mengadakan sebanyak 13 kali sesi libat urus berhubung Strategi Bajet 2022 ini dengan Kementerian Kewangan.

Katanya, tiga anggota kanan parti yang melibatkan diri dalam perbincangan ialah Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kita telah kemukakan cadangan-cadangan dan sebahagian besarnya juga diterima.

“Walaupun kita belum tahu tentang kaedah terperinci kita kena tunggu ucapan belanjawan nanti,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Tony yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi PH berkata, pihaknya yakin banyak cadangan yang disampaikan menerusi strategi ini akan diambil kira dan dimasukkan dalam Bajet 2022.

“Dokumen Strategi Bajet 2022 Pakatan Harapan telah disampaikan kepada pihak kementerian untuk diambil kira dan ditiru semua pun tak apa.

“Kita bahagi hak kepada pihak kerajaan untuk tiru semua strategi bajet yang telah disampaikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here