Mohammad Shaharul (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mohammad Zahir selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Felcra Education Services dan Puncak Jaya Edu Management di Kumpulan Pendidikan Shen Jai pada Rabu.
IPOH – Peruntukan bagi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi perhatian pemain-pemain industri menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini.
Pengarah Urusan Puncak Jaya Edu Management, Datuk Mohammad Shaharul Hashri Mahmood berkata, pihaknya menjangkakan pendidikan TVET akan menjadi antara keutamaan kerajaan dalam belanjawan kali ini.
Menurutnya, sebagai antara pemain bagi pendidikan TVET, kerajaan diharap dapat memberikan perhatian yang khusus terhadap pendidikan kemahiran terutama kepada golongan muda di negara ini.
“Kita di Shen Jai TVET College dan Kompas International College mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan. Kita beri peluang kepada anak-anak muda menyambung pengajian dan mempertingkatkan kemahiran mereka di sini.
“Pihak kami telahpun menjalankan pelbagai program-program latihan menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang membolehkan anak-anak muda ini diterima bekerja kerana kemahirannya,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Felcra Education Services dan Puncak Jaya Edu Management di Kumpulan Pendidikan Shen Jai di sini pada Rabu.
Majlis berkenaan disempurnakan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan turut dihadiri Pengurus Besar Felcra Education Services, Datuk Hazrinor Hisham Harun.
Sementara itu, Mohammad Shaharul berkata, pihaknya akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan pendidikan kemahiran rakyat.
Menurutnya, usaha tersebut penting dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran serta memenuhi kehendak industri.
Dalam pada itu, Hazrinor Hisham berkata, pihaknya akan memastikan peruntukan yang bakal disediakan kerajaan dimanfaatkan untuk membantu anak-anak golongan kurang berkemampuan menyambung pengajian dalam bidang yang mereka minati.