Khairul Dzaimee Daud
SHAH ALAM – Inisiatif Belanjawan 2023 disifatkan pemangkin semangat buat anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cekap bagi keselamatan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan dalam menambah baik pos kawalan dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di semua pintu masuk negara.
“Imigresen Malaysia menghargai dan mengucapkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan menerusi inisiatif yang diambil dengan menambah pos kawalan sempadan serta ICQS seperti yang diumumkan menerusi Belanjawan 2023.
“Sekaligus dengan inisiatif ini, ia akan membantu pihak Imigresen Malaysia dalam meningkatkan kawalan kemasukan pelawat asing di pintu masuk negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2023 mengumumkan kerajaan akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis Pasukan Gerakan Am,Jabatan Imigresen Imigresen Malaysia, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Inisiatif ini diumumkan bagi memperketat kawalan sempadan negara.