Home bajet2022 Pembangunan e-sport diberi tumpuan dalam Bajet 2022

Pembangunan e-sport diberi tumpuan dalam Bajet 2022

0
Pembangunan e-sport diberi tumpuan dalam Bajet 2022

JOHOR BAHRU – Bajet 2022 akan memberi lebih tumpuan terhadap usaha memperkembangkan industri e-sport dan sub-sektor sukan berkenaan yang semakin popular khususnya dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, ini kerana industri berkenaan dilihat berpotensi dan mempunyai nilai komersial sekali gus mampu menjana pendapatan.

Beliau memberitahu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan RM45 juta dalam tiga bajet sebelum ini sejak Bajet 2019 bagi menyokong dan menggalakkan perkembangan industri berkenaan.

“Selain usaha meningkatkan lagi pendedahan sektor e-sport dalam kalangan masyarakat umum, kerajaan juga berhasrat untuk meneroka pelbagai sub-sektor dalam industri itu sendiri.

“Ini kerana setiap sub-sektor berkenaan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan baharu kepada masyarakat dan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Akademi Soloz, di sini pada Ahad.

Katanya, kerajaan komited dalam memastikan sokongan berterusan terhadap industri e-sport negara menerusi Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober nanti.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata, MOF akan mempertimbangkan cadangan peruntukan kit ujian air liur bagi pengesanan Covid-19 kepada mangsa banjir sebelum memasuki pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan banjir yang diramal berlaku pada hujung tahun ini.

Jelasnya, pihak MOF yang juga urus setia Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan melakukan semak dan imbang dalam proses pelaksanaan terbabit.

Menurutnya, dalam persediaan menghadapi bencana alam itu pada hujung tahun, MOF akan melihat implikasi kewangan untuk menyediakan peruntukan yang cukup kerana tidak mahu wujudnya kluster baharu di PPS.

“Kementerian akan mengawal selain memastikan tidak hanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) terbabit, malah kementerian lain yang berkait,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Nadma mencadangkan pengesanan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur kepada mangsa banjir sebelum memasuki PPS, selain ujian dijalankan seminggu sekali bagi mangsa banjir yang berada lebih lama di PPS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here